Kepentingan Kreativiti & Inovasi Dalam Perniagaan

Kreativiti dan inovasi merujuk kepada melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Kreativiti dan inovasi juga boleh dikaitkan dengan pembaharuan, penambahbaikan, penciptaan dan penemuan.

Konsep kreativiti dan inovasi ini adalah luas dan boleh diguna pakai di dalam pelbagai bidang dan keadaan, tidak terkecuali bidang perniagaan.

                                    

Dunia perniagaan berkait rapat dengan kreativiti dan inovasi. Tanpa kreativiti dan inovasi, dunia perniagaan akan kekal statik tanpa sebarang pembaharuan dan perubahan.
Justeru, usahawan yang membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan mereka, akan lebih bergerak maju dan berjaya berbanding usahawan yang kekal dengan model perniagaan tradisional, yang hanya mementingkan jualan semata-mata.
Kreativiti dan inovasi di dalam dunia perniagaan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Antaranya melalui produk, perkhidmatan, jenama, model perniagaan dan pemasaran.
Bagi menjelaskan bagaimana kreativiti dan inovasi boleh membawa perubahan besar terhadap kedudukan dan reputasi perniagaan, saya bawakan contoh syarikat Google Inc. Semua sedia maklum, terdapat banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan carian laman web dan perkhidmatan emel.
Blogger dot com diantara perkhidmatan yang dimiliki oleh Google                                                   Gmail
Antaranya Yahoo dan Bing untuk enjin carian, dan Yahoo Mail dan Hotmail untuk perkhidmatan emel. Namun, apa yang membezakan enjin carian dan perkhidmatan emel Google dengan enjin carian dan perkhidmatan emel dari syarikat lain?
Jawapannya sekali lagi berkait rapat dengan kreativiti dan inovasi. Google memberi nafas baru kepada dunia carian web dengan menggabungkan pelbagai metod dan sumber carian seperti carian gambar, peta, berita, buku dan sebagainya di dalam satu portal carian.
Malah, enjin carian Google juga diintegrasikan bersama perkhidmatan emel di dalam satu akaun yang dikenali sebagai Google Account. Jika anda telah memiliki Google Account, anda boleh mengakses hampir ke semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google seperti Gmail, Blogger dan YouTube.
Bagi perkhidmatan emel pula, Google telah melakukan satu inovasi yang cukup menakjubkan di mana fungsi emel dan teknologi pengkomputeran awan, atau cloud computing telah gabungkan.
Setiap fail lampiran yang berbentuk dokumen seperti dokumen berformat PDF, Microsoft Word, Excel dan Powerpoint tidak perlu dimuat turun untuk melihat atau membuka kandungannya. Kita hanya perlu klik pada pautan ‘view’ atau ‘lihat’ pada lampiran,  dan satu tetingkap atau tab akan dibuka bagi memaparkan dokumen di dalam lampiran tersebut.
Tidak berhenti setakat itu, dokumen dalam lampiran tadi boleh diubah suai menggunakan perkhidmatan Google Docs, yang mampu berfungsi sebagaimana perisian pejabat seperti Microsoft Office atau Open Office.
Dokumen tadi pula boleh disimpan di dalam storan yang disediakan oleh perkhidmatan Google Docs ini. Ini bermakna, kita boleh melakukan tugasan pejabat harian hanya menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google. Apa yang perlu hanya sambungan internet.
Itu antara bentuk kreativiti dan inovasi yang dilakukan oleh Google bagi memaparkan kelainan dan membentuk keunikan terhadap perkhidmatan enjin carian dan perkhidmatan emel yang ditawarkan.

Ketika ini, Google jauh mengungguli dunia carian web dan perkhidmatan emel berbanding pesaing-pesaingnya seperti Yahoo dan MSN. Malah ada di antara pesaing-pesaing Google ini yang cuba meniru konsep perkhidmatan, dan model perniagaan, yang dilakukan oleh Google dengan tujuan untuk menarik minat pengguna.

Walaubagaimanapun, Google tetap menjadi pilihan pengguna berdasarkan reputasi dan nilai kreativiti dan inovasi yang dipeloporinya. Begitulah berkuasanya kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan.
Justeru, jika kita merupakan seorang pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan, cuba terapkan nilai kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan anda. Galakkan pekerja-pekerja kita memberikan sebarang idea bagi menyemai elemen kreativiti dan inovasi.
Kreativiti dan inovasi bermula dengan idea. Justeru, latih diri kita dan orang di sekitar kita untuk menghormati dan menghargai idea yang dilontarkan oleh orang lain kerana kita tidak tahu, idea tersebut mungkin akan membawa perubahan besar terhadap perniagaan kita.

Kesimpulannya, kreativiti dan inovasi amat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya maju dan kompetitif agar dapat bersaing dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini.

Mereka yang mengabaikan nilai-nilai kreativiti dan inovasi akan ketinggalan dan akan terus berada di belakang pesaing-pesaing yang terus-menerus mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang inovatif selaras dengan perkembangan dunia semasa.

No comments:

Post a Comment