Pembangunan industri kreatif juga mampu meningkatkan dan memantapkan syarikat-syarikat sedia ada sekaligus membuka ruang dan peluang kerjaya dan seterusnya dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.
Penekanan terhadap industri kreatif dapat membantu meningkatkan bilangan dan tahap kepakaran penggiat industri ini. Sokongan padu Kerajaan dan swasta serta persekitaran yang kondusif mampu menarik pakar kreatif dari luar untuk menyumbang kemahiran mereka di negara ini. Industri kreatif membuka lebih banyak peluang dan pilihan pekerjaan tanpa mengira latar belakang dan taraf pendidikan.
Penyelidikan dan pembangunan sama ada fizikal atau bukan fizikal amat penting dalam memajukan industri kreatif. Antara lain penyelidikan fizikal meliputi prasarana, peralatan, teknologi, sumber manusia, sementara penyelidikan bukan fizikal pula merangkumi pengisian dan teknik penyampaian.
Penyelidikan berterusan boleh meningkatkan kreativiti dan membuka ruang inovasi serta eksploitasi teknologi ke arah penghasilan produk-produk baru, sebagai contoh bidang animasi yang menggabungkan seni filem, seni lukis dan perisian komputer melalui platform multimedia.
Penyelidikan berterusan juga mampu meningkatkan mutu sesuatu produk seterusnya membantu penjenamaan produk tempatan bagi tujuan pasaran antarabangsa. Amat penting bagi Malaysia untuk memastikan produk- produk industri kreatif tempatan dapat menyaingi produk-produk di pasaran rantau ini.
Langkah mempaten produk industri kreatif boleh membantu usaha- usaha pemasaran produk tersebut. Langkah ini juga boleh dianggap sebagai usaha mengekalkan warisan seni budaya kerana industri kreatif yang mantap mampu mengangkat seni budaya negara.
Budaya menghargai harta intelek juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat Malaysia selaras dengan pembangunan industri kreatif. Usaha- usaha meningkatkan kesedaran mengenai harta intelek akan membantu mengekalkan warisan negara sebagai hak milik negara, di samping menjamin pulangan royalti kepada karyawan berkenaan.
Budaya menghargai harta intelek juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat Malaysia selaras dengan pembangunan industri kreatif. Usaha- usaha meningkatkan kesedaran mengenai harta intelek akan membantu mengekalkan warisan negara sebagai hak milik negara, di samping menjamin pulangan royalti kepada karyawan berkenaan.
Industri kreatif juga dapat mengukuhkan hubungan antarabangsa sama ada dua hala mahupun pelbagai hala melalui perjanjian persefahaman dan jaringan kerjasama modal insan, prasarana dan produk industri ini. Lawatan budaya dan pertukaran modal insan mampu meningkatkan kemahiran dan kepakaran dan pemindahan teknologi. Penghasilan produk usaha sama mampu meningkatkan hubungan antara negara dan memastikan perkongsian pengalaman dan pengetahuan bagi menghasilkan produk yang lebih bermutu.
No comments:
Post a Comment